Apakah ia posisi anatomi? Secara amnya, posisi anatomi di dalam radiografi boleh didefinisikan sebagai posisi rujukan apabila menerangkan perhubungan antara bahagian tubuh. Posisi rujukan yang dimaksudkan ialah keadaan yang "standard" yang diguna pakai oleh semua ahli radiografi di dunia sebagai garis dasar (base line) untuk menentukan keadaan yang sewajarnya bagaimana satu-satu bahagian tubuh itu perlu diposisikan sebelum sebarang projeksi dapat dilakukan.
Ciri-ciri posisi rujukan yang menjadi garis dasar itu adalah seperti berikut;
1. Berdiri tegak
2. Kaki lurus dan tegak
3. Lengan lurus di sisi
4. Tapak tangan ke hadapan
Supine
Supine adalah merupakan terma keadaan posisi badan yang selalu digunakan di dalam radiografi. Supine secara amnya bermaksud keadaan di mana posisi badan individu itu berada dalam keadaan berbaring telentang dengan bahagian hadapan badan menghadap ke atas. Posisi supine banyak digunakan di dalam lapangan radiografi samada di dalam prosedur untuk tujuan pengimejan diagnosis mahupun intervensional.

Prone
Prone juga adalah merupakan terma keadaan posisi badan yang selalu digunakan di dalam radiografi. Prone bermaksud keadaan di mana posisi badan individu itu berada dalam keadaan meniarap lurus dengan bahagian hadapan badan menghadap ke bawah. Posisi ini biasa digunakan untuk menghasilkan radiograf ekslusif untuk mendiagnos sesuatu penyakit yang mana patologinya kurang dapat dikesan jika di buat dengan posisi lain. Contoh pemeriksaan yang ada menggunakan posisi ini ialah di dalam prosedur intravenus urografi (IVU) iaitu untuk melihat atau menyiasat punca menyekatan uterik dan di dalam teknik pengimejan abdomen iaitu untuk mendiagnos penyakit ascites(busung).